Buli. Satu perkataan yang sering didengar dan ditonton di media sosial masa ke semasa. Pada suatu ketika dahulu walaupun ada kes-kes buli dalam kalangan remaja, namun pembabitan mereka tidaklah banyak dan mungkin tidak tersebar luas seperti sekarang. Dengan adanya media sosial, kes buli menular dengan lebih dahsyat dalam sekelip mata. Remaja yang jadi mangsa buli sudah pastinya mengalami taruma yang amat buruk dalam kehidupannya. Perasaan rendah diri dan balas dendam pasti menyelubungi diri mereka.
Menurut Naib Pengerusi MCPF (Yayasan Pencegahan
Jenayah Malaysia), Tan Sri Lee Lam Thye, statistik kes buli yang diterima seperti yang dilaporkan, pada tahun 2015
adalah 3,011 dan meningkat hingga 3,488 pada tahun 2016 sebelum turun kepada
2,795 kes pada 2017.
Biarpun ada penurunan, beliau berharap pihak yang
berkaitan seperti Kementerian Pendidikan memberi keutamaan terhadap usaha
menyemai rasa saling hormat-menghormati dari segi agama, bangsa dan jantina
supaya mereka menjadi pelindung antara satu sama lain daripada ancaman buli.
Apakah definisi buli?
Buli membawa maksud, perbuatan mengasari orang yang
lemah dengan tujuan atau maksud untuk menunjukkan kekuatan masing-masing. Ini
dengan tidak secara langsung, menjadikan mereka yang lemah terpaksa mematuhi
atau menghormati mereka yang lebih kuat. Ia juga membawa erti, tingkah laku agresif seseorang
sama ada dalam bentuk fizikal atau psikologikal yang diperlakukan berulang kali,
akan membuatkan mangsa rasa tidak senang hati, sakit dan trauma.
Yakni, selagi ada orang lemah, selagi itulah ada
orang akan mengambil kesempatan ke atas mereka dengan melakukan perlakuan yang
boleh menyakitkan dan memalukan itu.
Di negara kita, kegiatan buli ketara berlaku dalam
kalangan remaja berumur 13 hingga 17 tahun. Kebanyakan pelajar lelaki yang
melakukan kegiatan yang tidak bermaruah ini. Pelajar-pelajar perempuan walaupun
ada, tetapi jumlahnya agak kurang. Remaja lelaki amat agresif dan mempunyai
keinginan yang tinggi untuk menunjuk kekuatan mereka di khalayak rakan-rakan
mereka hingga mereka sama-sama bersubahat. Mereka tidak gentar untuk merakamkan
aksi-aksi ganas mereka dan menyebarkan secara luas di media soisal. Ini
bagaikan mencabar pihak berkuasa, tanpa disedari mereka juga terperangkap.
Para remaja harus peka dan mendapat tunjuk ajar
yang sangat spesifik daripada ibu-bapa
dan guru-guru tentang hubungan sesama manusia. Baik tua, muda,lelaki,
perempuan, perbezaan kaum dan agama. Begitu juga rupa dan warna kulit seseorang
tidak boleh dijadikan bahan ejekan.
Remaja perlu tahu, bukan semua manusia dilahirkan dengan sempurna di dunia
ini. Ada yang kurus, ada yang gemuk, ada yang tinggi, ada yang rendah, ada yang
gelap, ada yang cerah, ada yang cerdik dan ada yang tidak. Begitu juga dengan
perbezaan dalam pertururan dan fahaman agama. Kita sudah hidup lama secara
majmuk di negara ini. Jadi, remaja harus ambil tahu semua aspek perbezaan di
antara rakan-rakan mereka.
Kehidupan anak-anak menjadi sengsara dan terumbang-ambing
disebabkan oleh perpisahan antara ibu dan bapa ataupun kerana pendapatan ibu
bapa yang tidak seberapa. Ini semua dijadikan bahan ejekan dan hiburan di
sekolah.
Kesedaran ini harus diujudkan sejak seorang bayi
dilahirkan di muka bumi ini. Kita tidak hidup berseorangan di dunia ini. Ibu
bapa perlu memberi didikan agama serta
kesedaran sivik sebagai pendidikan asas di rumah sebelum anak-anak
mereka menjejakkan kaki ke tadika
mahupun sekolah rendah. Tunjuk ajar sebegini akan memberi suntikan semangat
perpaduan semasa mereka di peringkat bawah umur lagi.
Ibu bapa juga haruslah memantau segala gerak-geri
anak-anak mereka. Ini bukan untuk mengongkong pergerakan mereka, cuma untuk
memastikan mereka berada dalam keadaan yang betul, benar-benar selesa dan
selamat. Hubungkan intim ibu bapa dengan guru-guru akan membuat para remaja sentiasa
berwaspada dalam segala gerak-geri mereka. Ini dengan sendirinya akan memberi
kesedaran bahawa bukan pelajaran dan peperiksaan sahaja penting di sekolah, ada
yang lebih penting daripada itu, iaitu sikap bertoleransi.
Selain ibu bapa, para guru juga mempunyai tugas
yang lebih berat untuk memberi khidmat nasihat yang sewajarnya kepada remaja
yang bermasalah. Undang-undang yang ketat sahaja tidak akan membuat seseorang remaja
mematuhi segalanya. Dengan adanya belaian, didikan dan kemanusiaan, pasti akan
membawa perubahan secara sedar. Para guru perlulah mengambil tahu
latar-belakang dan masalah yang dihadapi oleh setiap murid di kelas mereka. Ini
dengan sendirinya akan menimbulkan perasaan ceria ketika berada di sekolah.
Seorang manusia menjadi baik atau jahat terletak
pada cara ibu bapa mendidik anak-anak mereka. Kurangnya kasih sayang dan
didikan yang sempurna pasti akan membinasakan hidup seseorang remaja, kelak dia
akan menjadi manusia yang bermasalah kepada keluarga dan negara. Ayuh, kita
ubah segala kepincangan ini dari sekarang.
[Karya ini disiarkan tanpa suntingan sebagaimana
diterangkan di sini]
[M. Mahendran dilahirkan di Bentong,
Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan
Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung
beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen
bahasa Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
pada tahun 1999 dan beliau dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023.
Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan Eksentrika.]