Dia

“Jangan nasihati aku. Bapa aku pun tak cakap apa-apa! Siapa kamu?”

Itulah kata-kata terakhir daripada seorang yang dianggap sebagai kawan. Dan aku tidak dapat menerimanya sebagai kawan lagi. Kata-kata yang dikeluarkan itu sungguh tajam. Memedihkan hati dan jantungku.

Aku dan dia kenal mengenali sejak tingkatan 4 lagi. Masing-masing amat lemah dalam segala matapelajaran yang dipelajari. Kami juga hairan bagaimana boleh melepasi peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (S.R.P) dan boleh ke tingkatan 4. Aku dari sekolah lain ke sekolah itu. Dia pula memang bermastautin di sekolah itu sejak tingkatan peralihan lagi.

Oleh kerana keputusan S.R.P cukup-cukup makan sahaja, kami ditempatkan di kelas sastera. Kami dikategorikan sebagai pelajar tercorot di sekolah. Aku tidak tahu apa kesalahan matapelajaran sastera atau ‘sastera’ itu sendiri. Dan aku juga tidak tahu mengapa matapelajaran Kesusasteraan Melayu yang agak susah itu menjadi kelas untuk pelajar yang kurang pandai seperti kami.

Memang payah untuk aku dan dia untuk mengenali pelbagai perkataan baharu dalam bahasa Malaysia, lebih-lebih lagi untuk mempelajari sajak dan hikayat. Pening kepala dibuatnya. Novellah, cerpenlah, dramalah. Adui!

Oh, mengapa aku merepek tidak tentu pasal tentang sekolah dan sastera Melayu? Oh ya, sebab pertemuan aku dan dia berlangsung di kelas tersebut.

Sejak sekolah rendah lagi, aku tidak mempunyai kawan rapat. Ada pun cuma berkawan dalam kelas sahaja. Tidak lebih daripada itu. Aku tidak pernah bermain atau merayau seperti budak-budak lain. Kegemaran aku adalah menonton tv dan mendengar radio. Mungkin juga kegemaran aku menghalang aku daripada bersosial.

Cuma dengan tiba-tiba dia boleh rapat dengan aku. Lagipun, dia ‘sealiran’ dengan minat aku. Ya, dia juga suka menonton tv dan mendengar lagu seperti aku. Sungguh menghairankan. Cuma satu sahaja membezakan aku dengan dia. Dia sering tidak menyiapkan kerja sekolah dan suka menulis semula berpandukan buku latihan aku. Dia sanggup datang pagi-pagi lagi ke sekolah. Kantin dijadikan tempat untuk menyalin (meniru). Aku biarkan sahaja. Kalau aku tulis betul, betullah dia. Kalau aku tulis salah, salahlah dia. Lagipun cikgu-cikgu yang mengajar kelas kami seperti tidak endahkan sangat tentang itu.

Keputusan S.P.M kami pun teruk. Aku gred 3 dan dia pula gagal. Gred 3 atau gagal tidak ada perbezaannya. Masa depan memang pudar.

Daripada duduk di rumah tanpa buat apa-apa, lebih baik aku bekerja. Di bandar kecil kami, peluang pekerjaan bukanlah banyak sangat. Ada pun di kedai kopi, restoran, kedai runcit, pasaraya dan beberapa buah kilang yang baru dibuka. Kerja-kerja sebegini seperti diujudkan untuk orang seperti kami.

Di rumah, ibu bapa sudah bising dengan keputusan S.P.M aku. Aku juga malas mengulang di tingkatan lima seperti mereka pinta.

Aku mendapat kerja di sebuah pasaraya. Aku mengajak kawan aku itu bekerja sama dengan aku. Mula-mula dia enggan. Dia kata, segan.

Selepas sebulan aku bekerja di bahagian stor; melihat di tangan aku ada duit, dia juga seperti teringin  menyertai aku. Di bahagian stor tidak ada kekosongan, jadi aku rekomenkan dia bekerja sebagai jurujual di bahagian alat tulis. Dia pun bekerja.

Belum sampai minggu ke empat, dia sudah berhenti. Dia berhenti tanpa beri notis. Apabila ditanya sebab apa dia berhenti. Dia menjawab, penghawa dingin di pasaraya itu sungguh sejuk. Setakat aku tahu, penghawa dingin di situ dingin seperti biasa sahaja.

Sudah enam bulan, aku masih bekerja di pasaraya tersebut. Dia pula boleh duduk di rumah berehat-rehat. Aku hairan, ibu bapanya tidak marah?

Aku syorkan dia bekerja di kilang papan. Dia menurut dan mendapat kerja di situ. Selepas dua bulan bekerja, dia pun berhenti dari situ. Alasannya kerja berat dan sentiasa berpeluh dan penyelia pula selalu marah dia.

Aku sudah dinaikkan pangkat sebagai penyelia di bahagian stor. Kerja aku pun bukan senang. Hari-hari lori sampai. Kena terima barang, periksa barang, pikul barang dan perlu susun mengikut sistem “first in, first out”. Kerja berat. Badan sentiasa berpeluh. Aku tidak kisah. Siap kerja di stor, pada waktu malam kena menampal harga dan susun barang di rak dalam pasaraya hingga tutup kedai. Dalam seminggu, empat hari aku bekerja lebih daripada 12 jam.

Pada hari-hari cuti, aku akan mengajak dia yang tidak bekerja itu untuk bersarapan di kedai. Oleh kerana dia tidak bekerja, aku akan belanja.

Setiap tahun dia akan bertukar beberapa kerja. Semua kerja dibuat selama beberapa minggu sahaja. Banyak kali juga aku telah pinjamkan wang kepadanya. Kadang-kadang dia akan pulangkan.

Setelah lima tahun aku bekerja di pasaraya yang sama, aku dinaikkan pangkat sebagai “buyer”. Aku perlu berurusan dengan “salesman” dan “supplier” untuk menempah barang-barang untuk jualan.

Dalam masa lima tahun itu juga aku telah syorkan pelbagai kerja untuk dia.

Dia seperti tidak peduli. Dia lebih rela makan dengan hasil titik peluh bapanya.

Dia memberi alasan yang dia tidak boleh bekerja di bawah orang. Aku suruh dia bekerja sendiri atau berniaga kecil-kecilan.

Dia enggan.

“Jangan nasihati aku. Bapa aku pun tak cakap apa-apa! Siapa kamu?”

Aku diam sebentar.

“Kalau beginilah perangai kamu selama-lamanya, Tuhan pun tidak dapat tolong kamu!”

Aku pun lama sudah tinggalkan tempat lahir aku dan kini memiliki beberapa buah minimart di beberapa bandar. Anak-anak aku pun sudah besar dan menguruskan perniagaan keluarga.

“Ada kerja kosong di sini?”

[Karya ini disiarkan tanpa suntingan sebagaimana diterangkan di sini]

[M. Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada tahun 1999 dan beliau dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan Eksentrika.]