Koleksi fiksyen Siapa Bunuh Veer Singh? yang dijadualkan
terbit pada April 2026 adalah kesinambungan kepada kumpulan cerpen Sebelas Amanat Swamiji (2025). Buku ini
menyajikan 16 buah cerpen (cerita pendek) berbentuk fiksyen dan cereka (cerita
rekaan) yang saya hasilkan dari awal 2025 hingga awal 2026.
Sebuah lagi karya iaitu “Siapa Bunuh Veer Singh?” ditulis lebih
awal dan disambung lebih kemudian. Dalam buku ini, kisah itu dijadikan dua
bahagian. Bahagian inkues ditulis dari 29 Januari hingga 5 Februari 2024. Fiksyen
berasaskan kisah benar yang berlaku pada 1925 mula-mula disiarkan di portal Sastera Kavyan (2, 7, 12, 16, 21, 26
Februari dan 1 Mac 2024).
Bagi tujuan penerbitan buku ini, saya meluangkan masa pada 6-8 Februari
2026 untuk meneliti maklumat perbicaraan kes di Mahkamah Jenayah Perak, Ipoh (9-19
September 1925) dan menulis sambungan kisah itu.
Cerpen “Demi Sebuah Keampunan”
tersiar di Cukaria pada 13 Jun 2025—cerpen
pertama saya di sana sejak laman itu muncul kembali pada Julai 2024. Sementara
itu, cerpen “Sejarah
Tiga Ribu Tahun Yahudi dan Babi” ditulis sebagai reaksi dan
apresiasi selepas membaca buku Forbidden:
A 3,000-Year History of Jews and the Pig (2024).
Cerpen “Toyol Pak Darus” sepatutnya dimuatkan
dalam Sebelas Amanat Swamiji (2025).
Namun, ditangguhkan kerana saya mahu memastikan tidak ada kisah Melayu-Islam
dalam buku berkenaan yang mengkhusus kepada kisah komuniti India-Hindu.
Cerpen “Posmen Kampung Durian”
ditulis pada Permukiman Penulisan Kavyan di Bentong, Pahang bersama M. Mahendran. Cerpen “Pesta Mandi Prashamsaneeji” menyambung
kisah watak berkenaan dan kultus tertentu yang boleh dibaca dalam Seruling Malam (2024) dan Sebelas Amanat Swamiji (2025).
Cerpen “Chellam Akka” disiarkan di portal Sastera Kavyan pada 10 dan 14 Oktober
2025. Ia tidak membawa apa-apa tema berat tetapi menyajikan kisah masyarakat
dari kaca mata kanak-kanak. Sementara itu, fiksyen parodi satira “Katak dari Bawah Tempurung” mendapat
tempat di Cukaria (15 September 2025).
Sebagai pengamal multifaith
(Bukan Islam), tentulah saya sudah biasa membaca Bible dan pelbagai teks agama-agama lain. Dari situlah lahir
inspirasi bagi cerpen “Memorandum Tentang Bible Menyimpang”. Untuk
rekod, nama Negerimerhand dipilih sempena nama yang digunakan oleh puak yang meminta
Menteri Dalam Negerimerhand mengharamkan buku Malaiur Manikam (2015).
Cerpen “Malam Pertama” disiarkan
di Cukaria (11 Disember 2025). Unsur
kejutan atau twist muncul pada akhir
cerita dan serta-merta mengubah makna apa-apa yang dibaca sejak mula. Hal sama
juga dilakukan dalam menganyam cerpen “Apa
dalam Guni, Sekuntum …” pada 6 Disember 2025.
Cerpen “Siapa Bunuh Tan Chai Hoey?”
ditulis selepas mengumpul dan meneliti pelbagai laporan berita dan bahan arkib
mengenai satu kes pembunuhan yang berlaku pada 1958 di Pulau Pinang.
Cepen “Mendayung di Lautan
Berdarah” ditulis selepas membaca teks penuh alasan penghakiman dalam kes
rogol melibatkan pendakwah Islam, Syed Shah Iqmal bin Syed Mohd Shaiful (Da’i
Syed). Pada masa sama, saya menulis pula fiksyen “Samsara dan Dharma” yang disiarkan di
portal Sastera Kavyan (24 Februari
2026).
Sementara itu, cerpen “Di Pesisir
Pantai Lanka” terinspirasi daripada epik Ramayana. Inspirasi daripada epik Mahabharata dan Bhagavad
Gita pula menggerakkan imaginasi saya untuk menulis cereka
“Misi Membunuh Krishna di Kurukshetra”.
Cerpen “Berani Kau Hina *abi!”
terinspirasi daripada kisah dalam novela Animal
Farm (1945) karya George Orwell dan beberapa kisah
lain. Unsur satira dan parodi diharap mampu membuatkan pembaca tersenyum dan
berfikir seadanya.
Nota: Tulisan ini merupakan sedutan
daripada buku Siapa Bunuh Veer Singh? (2026)
Mahu mengirim karya ke portal Sastera
Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].
[Uthaya Sankar SB mendapat pendidikan di SRK
Convent Aulong, SM Darul Ridwan, dan SM King Edward VII, Taiping sebelum
mengikuti pengajian sarjana muda dan sarjana sastera di Universiti Malaya.
Beliau terlibat dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Tulisannya boleh juga dibaca
di portal Sastera Kavyan. Baca biodata penuh]

